Pengukuhan aqidah perlu dilaksanakan secara berterusan





Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman





BERAKAS, Isnin, 29 Jun. – Dalam dunia yang penuh dengan pelbagai pengaruh dan pemikiran, aqidah tidak boleh dibiarkan tanpa benteng dan panduan.


Cabaran-cabaran ini menuntut umat Islam untuk lebih berwaspada dalam memelihara kesucian aqidah serta mempertahankan identiti sebagai seorang Muslim.


Oleh itu, usaha memelihara aqidah perlu dilaksanakan secara berterusan.


Demikian ditekankan oleh Pensyarah Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Dayang Seri Ramizah binti Matussin semasa menyampaikan ceramah khas selaku penceramah jemputan pada Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448 Kementerian Pendidikan, dikendalikan melalui Bahagian Perhubungan Antarabangsa, Urus Setia Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan dan Unit Audit Dalaman,  bertempat di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan, di sini.


Menurutnya, usaha-usaha tersebut antaranya adalah dengan mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah, daripada fahaman-fahaman yang menyeleweng; menjauhkan diri daripada pengaruh yang boleh melemahkan iman dan nilai-nilai Islam; berhijrah kepada kehidupan yang lebih berteraskan syariat serta menghadapi cabaran dunia moden dan digital dengan bijaksana tanpa mengorbankan prinsip-prinisip agama.


Namun demikian jelas beliau, mempertahankan aqidah bukanlah semata-mata tugas para ulama, imam atau guru agama, ia merupakan amanah setiap individu Muslim, bermula dari rumah, masyarakat hinggalah ke institusi pendidikan.


"Kerana pendidikanlah benteng pertama dan paling teguh dalam memelihara aqidah sesebuah bangsa. Oleh sebab itu, para pendidik mempunyai peranan dan amanah yang sangat besar sebagai agen pembentukan generasi masa hadapan. Di samping bertujuan melahirkan individu yang cemerlang dalam akademik, pendidikan juga membentuk insan yang kukuh aqidah dan tinggi akhlak," tambahnya semasa menyampaikan Ceramah Khas bertajuk 'Hijrah Penyelamat Aqidah : Memperkukuh Generasi Rabbani' bersempena tema Sambutan Ilal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1448H / 2026 Masihi iaitu 'Hijrah Penyelamat Aqidah'.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.


Majlis juga antara lain bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap pengajaran serta hikmah di sebalik peristiwa Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagai panduan dalam memperkukuh jati diri dan mencapai kecemerlangan secara berterusan. 


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Pemangku Rektor, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.


Close